Friday, June 25, 2004

 

Gadis Metro Dari Kuantan

Ning sahut cabaran

Ning sahut cabaran

BIARPUN mengetahui bakal berdepan cabaran tersendiri apabila memilih untuk menjadi wartawan, Norzatil Othman, Gadis Metro kali ini tidak berhasrat menukar cita-citanya sejak sekian lama. Ini kerana Norzatil lebih mesra dipanggil Ning sememangnya sukakan cabaran. “Pada saya kerja wartawan ini memang mencabar. Bukan senang nak menulis berita dan sebagainya kerana ianya memerlukan wartawan berfikir dan mencari bukti,” katanya. Sewaktu ditemubual, ternyata Ning, 23, adalah gadis yang mempunyai ciri-ciri seorang wartawan yang baik iaitu suka mencuba dan gemar bertanya. Pantang ada saja peluang uji bakat, dia sering menyertainya biarpun tidak berjaya. Pernah satu ketika dia ditegur oleh seorang guru vokal dalam satu uji bakat dan dikata mempunyai suara sumbang, namun dia tidak berputus asa. Kata Ning, bagi merealisasikan impiannya itu dia sanggup menghabiskan masa remajanya untuk menyambung pelajaran dalam bidang kewartawanan di IKIP, Kuantan, Pahang. Sebelum ini dia sudahpun memperoleh sijil dalam bidang Pengurusan Hotel dan pernah bekerja selama tiga tahun dalam bidang itu. “Biarpun ada sijil dan pengalaman dalam bidang berkenaan, minat saya lebih kepada wartawan. “Saya mahu mempelajari banyak perkara sebagai persediaan saya untuk bekerja sebagai wartawan kelak. Dalam kata lain, lagi banyak yang kita belajar pada usia muda, lagi bagus. “Saya juga ada menulis beberapa artikel mengenai fesyen, lokasi pelancongan dan juga pilihan raya baru-baru ini. Biarpun belum dihantar ke mana-mana penerbitan, saya yakin latihan itu dapat membantu saya menulis dengan baik,” kata anak ketiga pasangan Othman Ismail, 56 dan Yang Som Long Chik,49 ini. Disebabkan kelas hanya akan bermula pada 15 Julai ini, Ning memanfaatkan cuti panjangnya untuk bekerja sambilan di restoran makanan segera. Sementara itu Ning juga turut menjadi ahli pergerakan Puteri UMNO di Kuantan, selain Penari di Taman Budaya Pahang. “Seni juga mempunyai nilai yang tinggi dalam diri saya. Biasanya jika ada masa lapang saya akan menyertai kelas tarian di Taman Budaya Pahang. “Sebagai penari, saya berpeluang menyertai persembahan pentas yang diadakan setiap Sabtu di sini,” katanya.

Nama: Norzatil Othman
Panggilan: Ning
Tarikh Lahir: 2 Mac 1981
Asal: Kuantan, Pahang
Keluarga: Anak ketiga daripada lima beradik
Tinggi: 158 cm
Berat: 45 kg
Zodiak: Pieces
Hobi: Melayari internet
Kerjaya: Pelajar
Cita-cita: Berjaya dalam bidang yang diceburi
Kod: 135
|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?