Thursday, June 24, 2004

 

Tip beli kereta terpakai

APAKAH aspek utama yang perlu diperhatikan apabila membeli kenderaan

terpakai? Aspek badan kenderaan atau enjinnya?

INGIN TAHU

Kuala Lumpur

KEDUA-DUA aspek sama penting untuk mengelakkan kos pembaikan yang tinggi di samping memastikan kenderaan yang dibeli selamat untuk dipandu.

Pemeriksaan yang teliti perlu dilakukan untuk mengetahui keadaan badan dan enjin kenderaan. Hantar kenderaan ke AAM atau pusat-pusat pemeriksaan yang diiktiraf.

Berikut adalah panduan untuk melakukan pemeriksaan sendiri. Pemeriksaan perlu dilakukan di kawasan yang terang dan elakkan daripada memeriksa kenderaan sebelah malam.

Untuk memeriksa badan kenderaan, periksa bahagian dalam tiang (pillar) hadapan, tengah dan belakang.

Sekiranya kenderaan tersebut kenderaan potong, kesan kimpalan dan penyambungan akan dapat dilihat pada bahagian dalam komponen itu. Kemudian periksa permukaan pintu, bonet, bumbung, but dan fender.

Sekiranya, permukaan beralun atau warna yang tidak sama menunjukkan badan kenderaan itu pernah diperbaiki atau kenderaan pernah terbabit dalam kemalangan .

Pastikan sela antara bonet dan fender sebelah kiri dan kanan sama. Pastikan sela (gap) di antara fender dan pintu hadapan sebelah kiri dan kanan sama.

Pastikan sela di antara semua pintu dan running panel sama .

Jika terdapat sela yang tidak sama antara sebelah kiri dan kanan kemungkinan badan kenderaan itu sudah diperbaiki.

Pastikan juga jenis lampu hadapan sebelah kiri dan kanan serta bahagian belakang kiri dan kanan sama.

Sekiranya berlainan jenis kemungkinan lampu kenderaan itu sudah ditukar atau kenderaan pernah terbabit dalam kemalangan.

Periksa bahagian dalam kenderaan dengan memeriksa bahagian bawah alas dan bahagian bawah panel pemuka.

Sekiranya terdapat kesan lumpur atau karat menunjukkan kenderaan itu pernah tenggelam banjir.

Untuk mengesan kenderaan potong yang disambung semula, kenderaan perlu diangkat sepenuhnya untuk memeriksa bahagian bawah casis.

Biasanya kesan kimpalan potong dan sambung boleh dilihat dengan jelas pada bahagian tengah bawah casis .

Buka bonet kenderaan, pastikan nombor enjin dan casis tidak diganggu dan sama seperti yang tertera pada kad pendaftaran kenderaan.

Pastikan tiada kebocoran minyak enjin di bahagian enjin dan penapis udara. Pastikan enjin mudah dihidupkan semasa sejuk dan panas.

Tinggikan kelajuan enjin dan pastikan tiada asap putih di paip ekzos. Sekiranya ada menunjukkan enjin perlukan kos pembaikan yang tinggi. Kemudian pandu uji kenderaan.
|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?