Friday, July 16, 2004

 
Di sebuah kampung tinggal seorang lelaki tua yg sudah
bertahun-tahun kematian isteri.
Dengan arwah isterinya itu dulu dia dikurniakan tiga
orang anak lelaki.Semuanya sudah remaja. Anak pertama bernama
Anis, kedua bernama Harben dan ketiga bernama Amsal.
Akan ketiga-tiga ini yang paling disayangi ialah Harben.
Sayangnya dengan Harben langsung tidak diberinya keluar rumah.
Si polan ini sayang juga dengan Anis. Kadang-kadang dibawanya
juga keluar rumah, ke pekan, ke penambang (jetty) dan ke
sekitar kampung. Almaklum anak yang ketiga iaitu Amsal
kadang-kadang langsung tak diendahnya..jadi merayau-rayau lah si
anak ini ke sekitar kampung dan sampai ke pulau
seberang. Kurus kering badannya kerana jarang diberi makan.

Hendak dijadikan cerita, suatu hari yang mendung raja yang
memerintah kampung itu dari pulau seberang telah memanggil si polan ini
pergi mengadap. Susah hati lah si polan ini sebab badannya sudah tua,
terpaksa pulak mengayuh ! selat nak ke pulau tersebut. Lagi pula musykil
hatinya. Apa yang dimahukan si Raja itu.

Maka dipanggilnya si Harben."Harben, tolong hantar ayah ke pulau
seberang..Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..boleh ya
nak?" Apa yang dijawab Harben? "Minta maaf lah ayah. Masalahnya Harben tak
pernah keluar rumah jadi macamana Harben nak hantar ayah ke sana sebab
Harben tak tahu jalan. Kalau mahu, Harben hantar sampai depan pintu
saja lah, ye ayah?"
Mendengar jawapan si Harben sedihlah hati si polan ini kerana
anak yang disayanginya tidak boleh diharap. "Baiklah kalau begitu"
jawabnya sedih.

Dipanggilnya pula si Anis."Anis, tolong hantar ayah ke pulau
seberang..Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..boleh ya
nak?" Apa yang dijawab Anis? "Minta maaf lah ayah. Masalahnya Anis tak
pernah keluar dari kampung ni jadi macamana Anis nak hantar ayah ke
sana sebab Anis tak tahu jalan. Kalau mahu, Anis hantar sampai hujung
kampung sajalah, ye ayah?"
Mendengar jawapan si Anis itu sedihlah hati si polan ini kerana
anak yang disayanginya ini pun tidak boleh diharap juga."Baiklah
kalau begitu"jawabnya sedih.

Dipanggilnya pula si Amsal. "Hei Amsal, tolong hantar ayah ke
pulau seberang.. "Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap.."
Lalu Amsal menjawab, "Baiklah ayah" tanpa sebarang alasan.
Menyesallah dihatinya kerana tidak menyayangi anaknya Amsal
akan tetapi dia sanggup melakukan apa saja untuk ayahnya.

Lalu pergilah si polan mengadap Raja. Harben menghantar di pintu
pagar rumah, Anis menghantar sampai ke penambang dan si Amsal mengikut
ayahnya mengayuh kolek. Sedang mengayuh itu, tidak semena-mena ribut
melanda dan hujan lebat pun turun.

Terkial-kiallah mereka mengayuh dan disebabkan si polan yang dah
tua dan si Amsal yang kurus kering karamlah mereka berdua terkubur di
lautan.

Sekian adanya.

APA PENGAJARAN CERITA INI.

Adapun anak-anak si polan ini ialah sebenarnya kehidupan lelaki
tua ini.

1) Harben ialah HARTA-BENDA,
2) Anis ialah ANAK-ISTERI, dan
3) Amsal ialah AMAL-SOLEH.

Lazimnya manusia sayang kepada Harben dan Anis tapi tidak pada
Amsal.
Di mana bila manusia itu mati iaitu pulang kerahmatullah (mengadap
Raja) yang dapat dibawanya hanyalah Amsal. Harben tinggal dipintu
pagar dan Anis tinggal di penambang (di tepi kubur).Oleh itu dalam kita
mengejar cita-cita di dunia ini jangan lah lupa dgn akhirat dan rukun
Islam yang lima .

Sama-samalah kita mendapat kesenangan di dunia dan di akhirat.
|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?