Friday, July 09, 2004

 

Gadis Metro Yang Terbaru

Seni pertahankan diri penting

Seni pertahankan diri penting

KES ragut, bunuh dan rogol yang mengejutkan orang ramai akhir-akhir ini memerlukan perhatian semua pihak sama ada pihak berkuasa dan masyarakat umum untuk membanterasnya. Apa yang membimbangkan ialah sasarannya adalah golongan wanita menyebabkan tiada lagi keamanan berjalan di tepi jalan. Pelbagai cara untuk mengatasinya namun ia masih lagi berleluasa. Personaliti Gadis Metro kali ini, Siti Aisyah Zalikha Samsubahri, 18, dari Klang, Selangor menyeru orang ramai belajar seni mempertahankan diri sebagai langkah keselamatan. “Sejak dari tingkatan satu lagi saya mempelajari seni mempertahankan diri melalui silat. Ini perlu kerana golongan wanita sering saja menjadi mangsa. “Oleh itu, saya sarankan mereka mempelajari seni mempertahankan diri tidak kira sama ada silat, taekwando dan apa saja,” katanya memulakan perbualan. Siti Aishah Zalikha atau mesra dengan panggilan Ikha mengakui dia juga pernah dipilih mewakili negara di kejohanan terbuka pencak silat tetapi terpaksa menolaknya atas masalah tertentu. “Ikutkan hati memang saya ingin mewakili negara ke peringkat yang lebih tinggi. Namun hasrat saya itu terpaksa dipendamkan begitu saja memandangkan ayah dan ibu tidak merestuinya. Apa pun, saya sudah ada asas bersilat dan tidak perlu takut menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya. Gadis berbintang Libra yang juga anak sulung daripada dua beradik ini merupakan pekerja sambilan di salah sebuah syarikat insurans. Dia juga pandai menari dan hampir tiga tahun aktif dalam bidang kebudayaan. “Pada awalnya, belajar menari memang susah memandangkan saya tiada asas tarian. Namun kerana minat, akhirnya saya berjaya juga. “Saya sering mengikuti program Citrawarna Malaysia dan pernah ditawarkan menjadi guru tari tetapi menolaknya,” katanya yang juga ahli Puteri Umno cawangan Klang. Ikha juga menyertai Gadis Metro kerana ingin mencari pengalaman baru. Selain itu, katanya, dia juga bercita-cita menjadi model iklan komersial. “Mungkin peluang tampil dalam akhbar Harian Metro sebagai titik permulaan untuk mengenali dunia modelling. Semoga hasrat saya ini tercapai nanti,” katanya yang turut bercita-cita menjadi ahli perniagaan.

Nama: Siti Aisyah Zalikha Samsubahri
Panggilan: Ikha
Tarikh Lahir: 2 Oktober 1986
Asal: Klang, Selangor
Keluarga: Anak sulung daripada dua beradik
Tinggi: 150 sm
Berat: 40 kg
Zodiak: Libra
Hobi: Menari, berenang & membeli-belah
Kerjaya: Kerani
Cita-cita: Model, pramugari & ahli perniagaan
Kod: 157
|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?