Tuesday, July 13, 2004

 

Sengsara kerana bertubuh gergasi




Stadnik, pemuda kampung dari Podoliantsi ini di samping ibunya, Halyna.


DEMI mengejar impian, ramai yang sanggup melakukan `apa saja', agar nama tercatat di dalam Guinness Book of World Records.

Sekalipun menyedari impian umpama memetik bintang di langit, namun kerana kemasyhuran dan populariti, semuanya sanggup diharungi.

Ketika orang lain berlumba-lumba bersaing untuk dinobatkan dalam rekod yang dianggap `gah'di mata dunia, ada yang tidak perlu ber susah payah tetapi memperolehnya secara tidak sengaja.

Ternyata, ia tidak seperti tanggapan orang ramai yang mungkin berasa bangga kerana berjaya mencipta rekod yang menjadi igauan ramai.

Apa yang terjadi kepada pemuda yang berasal dari Podoliantsi, sebuah perkampungan kecil berdekatan Chernobyl, di barat laut Ukraine ini adalah sebaliknya.

Ketinggian yang dimiliki oleh Leonid Stadnik, hingga mencecah 2.53 meter dipercayai telah mengatasi rekod rasmi Guinness Book of World Records pada masa kini.

Stadnik, 33, telah mengatasi rekod manusia tertinggi yang masih hidup sebanyak 17 sm. Rekod ini disandang oleh Radhouane Charbib dari Tunisia.

Namun, Stadnik tidak melihat ketinggiannya yang begitu luar biasa ini sebagai sesuatu yang membanggakan.

Jauh di sudut hati pemuda kampung yang berprofil rendah ini, apa yang dilaluinya selama hampir dua dekad lalu adalah sesuatu yang sukar.

Betapa, dengan memiliki tubuh bersaiz gergasi ini adalah satu kesengsaraan dan penderitaan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Stadnik, `terperangkap' dengan ketinggiannya di mana dia tidak lagi bebas mengecapi nikmat hidup seperti individu normal lain.

Dia menyifatkan ketinggiannya ini bukan saja merobah rutin harian, malah dia `kehilangan' segala-gala yang pernah dimilikinya satu ketika dulu.

Ketidakselesaan dan masalah adalah harga yang perlu `dibayar' untuk meletakkan namanya tersenarai dalam Guinness Book of World Records.

Malah, populariti atau kemasyhuran kerana bakal tersenarai sebagai lelaki tertinggi di dunia tidak memberi apa-apa erti kepadanya.

Saban hari, pakar veterinar ini diburu kebimbangan jika ketinggiannya akan terus bertambah dari semasa ke semasa.

Sebetulnya, terlalu banyak masalah yang sedang dan bakal dihadapinya jika ketinggiannya terus bertambah.

Perkara yang paling dibencinya ialah ketika masuk ke dalam rumah. Dia terpaksa mencangkung dan membongkokkan badan setiap kali ingin masuk ke dalam rumah bagi mengelakkan kepalanya terhantuk ke siling.

Begitu juga dengan kasut dan pakaian. Sut lengan panjang dan seluarnya yang baru berusia dua tahun telah singkat sebanyak 30 sentimeter. ``Ketinggian saya ini ibarat hukuman Tuhan. Hidup saya tidak bermakna,'' luahnya.

Menurut ceritanya, tumbesaran Stadnik yang luar biasa ini bermula selepas dia menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dalam otak ketika berusia 14 tahun.

Dipercayai, kesan dari pembedahan tersebut telah merangsang kelenjar pituitarinya.

Sejak itu, liku-liku kehidupannya bermula. Tumbesarannya menjadi terlalu pantas dan berganda-ganda. Ketika berada di gred 9, dia menjadi lelaki yang mempunyai tubuh paling besar di kampungnya.

Bagaimanapun, belum ada tanda-tanda sama ada dia akan mengatasi rekod Robert Wadlow dari Alton, Illinois. Wadlow, lelaki yang mencatatkan sejarah sebagai lelaki tertinggi dunia dalam sejarah yang meninggal dunia pada tahun 1940.

Memencilkan diri

Ketinggiannya yang semakin bertambah dari hari ke hari ini memaksa Stadnik memencilkan diri di kampungnya yang terletak kira-kira 130 batu dari barat, ibu kota Ukraine, Kiev.

``Kepada saya menaiki bas awam tidak ada bezanya seperti seorang individu normal yang masuk ke dalam but kereta.

``Tiada satu kenderaan hatta traktor pun yang dapat membawa saya keluar berjalan-jalan untuk melihat dunia,'' ujarnya.

Dia terpaksa melakukan sesuatu yang memalukan seperti mencangkung dalam bas. Menurut Stadnik, dia pernah menjadi ketua veterinar selama sedekad di ladang ternakan yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampungnya.

Setiap hari dia ke sana menaiki kereta kuda. Tetapi, adalah mustahil untuk dia menaiki kereta kuda kerana tubuhnya yang terlalu berat.

Sekalipun keadaannya begitu, Stadnik juga seorang yang bijak. Dia lulus dengan cemerlang semasa menuntut di universiti.

Tetapi, Stadnik tidak pernah menganggap kecemerlangannya dalam bidang pelajaran membawa `tuah' dalam hidupnya.

Dia yang pernah bekerja sebagai veterinar di ladang penternakan lembu terpaksa berhenti tiga tahun lalu. Puncanya, dia tidak mempunyai kasut yang sesuai untuk melindungi kakinya yang mencecah hingga 43 sm.

Kesannya, dia mengalami frostbit, iaitu kecederaan pada tisu-tisu akibat cuaca sejuk beku. Bagaimanapun, April lalu, masalah Stadnik mendapat perhatian daripada beberapa orang ahli perniagaan tempatan yang bermurah hati untuk menanggung kos sepasang kasut.

Nilai sepasang kasutnya yang mencecah RM760 (AS$200) menyamai wang pencen sebanyak tujuh bulan yang diterima Stadnik.

Di sebalik kesengsaraan yang ditanggungnya, ada juga yang melucukan. Menurut Stadnik, dia terpaksa berhenti kerja sebagai veterinar kerana haiwan ternakan seperti lembu begitu takut melihat saiz tubuhnya seperti gergasi.

Seperkara yang sering dielakkan Stadnik ketika berada di rumah ialah melihat dirinya di cermin. Malah, di rumahnya sendiri tiada cermin.

Masanya yang banyak dihabiskan di ladang penternakan menyebabkan dia tidak memerlukan set televisyen atau telefon.

``Saya diberi telefon bimbit, tetapi agak sukar untuk menekan butangnya dengan jari,'' katanya.

Waktu malam juga bukanlah sesuatu yang indah kepada Stadnik. Dia, yang tinggal bersama ibunya, Halyna terpaksa tidur di atas dua buah katil sambil merengkokkan tubuh.

Dengan berat badannya yang mencecah hingga 200 kilogram, dia sering mengalami sakit lutut. Kepatahan tulang yang dialaminya baru-baru ini, menyebabkan kecederaannya semakin teruk.

Dengan saiz tubuhnya seperti gergasi, Stadnik juga mempunyai tapak tangan yang paling besar di dunia dengan kepanjangan 31 sm.

Mungkin dengan sebab itulah, dia tidak minum minuman keras kerana saiz gelas yang terlalu kecil menyukarkan untuk dipegang. ``Saya tidak merokok atau minum minuman keras,'' ujar Stadnik.

Namun, Stadnik menghadapi liku-liku yang ditentukan kepadanya dengan tabah. Sekalipun pelbagai ujian dan dugaan datang silih berganti, dia menyibukkan diri dengan rutin kehidupan kampung.

Stadnik, banyak menghabiskan masa di kebun, membantu menggembala ternakan lembu dan khinzir milik keluarganya serta tidak ketinggalan membantu jiran-jiran.

Bagi menenangkan fikiran, Stadnik menanam tumbuh-tumbuhan eksotik dan meluangkan masa bermain-main dengan haiwan peliharaannya.

Dia akan bermain-main dengan haiwan kesayangannya, burung bayan yang berwarna biru dan kuning.

Jiran Stadnik, Bronyslav, menggambarkan Stadnik sebagai seorang yang baik hati, suka menolong orang lain, tidak pentingkan diri sendiri, lelaki yang tekun dan berjiwa murni.

Malah, rakan-rakannya juga sering melayan Stadnik dengan lawak jenaka yang tidak menyakiti hati Stadnik.

``Pernah, rakan-rakannya ingin membawa Stadnik ke kawasan Pergunungan Carpathian, dengan tujuan bahawa ada sesuatu yang lebih tinggi di dunia ini daripada dirinya,'' kata Bronyslav.

Sebagai seorang lelaki, Stadnik seolah-olah pernah kecewa dengan wanita. ``Saya pernah berjumpa dengan ramai wanita semasa di sekolah atau universiti, tetapi malangnya saya tidak bertemu dengan seseorang yang sesuai,'' luahnya.

Ketika ditanya mengapa dia tidak berjumpa doktor, Stadnik memberitahu selepas pembedahan membuang ketumbuhan pada otaknya dulu, dia ragu-ragu untuk berjumpa doktor.

``Saya pernah memohon untuk menjadi tentera tetapi tidak dibenarkan doktor kerana kaki saya rata. Saya tidak mahu lagi berjumpa doktor.

``Mereka bukan saja enggan melihat saya semasa sesi pendaftaran untuk berkhidmat dalam tentera. Malah mereka hanya membaca akhbar dan buat acuh tidak acuh kepada saya,'' katanya sambil melahirkan kekesalan.

Bagaimanapun, dia diberi elaun oleh kerajaan sebanyak RM228 (AS$30) setiap bulan. Elaun tersebut, hanya dinaikkan sebanyak RM3.80 (AS$1) baru-baru ini.

Jurucakap Guinness Book World of Records, Kate White, belum berura-ura untuk menggantikan rekod sedia ada dengan nama Stadnik. Menurut White, Stadnik seorang pemuda yang pemalu dan seolah-olah tidak selesa dengan kehadiran pihaknya.

Moga-moga, impian Stadnik agar tumbesarannya terhenti suatu hari nanti akan menjadi kenyataan, sekalipun terpaksa hidup dengan ketinggian yang luar biasa.
|

This page is powered by Blogger. Isn't yours?